Monday, August 16, 2010

Lawatan Tapak di Pinggir Bandar Metropolitan Johor Bahru-Satu perspektif daripada perancang bandar

Hanya menanti masa untuk menerima perubahan,..itulah yang dapat diperkatakan kepada nasib penduduk di kawasan pinggir bandar di kawasan Johor Bahru. Kawasan perkampungan yang dahulunya penuh dengan cirri-ciri kampung kebanyakannya musnah ditelan pembangunan yang baru dibangunkan. Kawasan-kawasan pinggir bandar ini sesetengahnya masih belum bersedia menerima pembangunan di sekitar kawasan mereka. Akibatnya keadaan persekitaran pinggir bandar semakin hilang identitinya.
Sepanjang jalan kearah Gelang Patah, beberapa projek mega dibawah wilayah Iskandar Malaysia jelas kelihatan. Mungkin kerana, semakin besar atau berubahnya sesuatu pusat pentadbiran, maka semakin banyak timbul projek-projek dan pembinaan di kawasan sekitarnya. Sehinggakan wujud industri-industri yang dibina di kawasan-kawasan estet penduduk kampung pinggir bandar. Ini secara tidak langsung mengganggu mata pencarian mereka. Hanya ada sesetengah kawasan sahaja yang membangun akibat terkena percikan pembangunan setempat namun bagi kawasan-kawasan tertentu yang dahulunya menjadi tumpuan orang ramai, ia akan ditinggalkan sebaik sahaja wujud kawasan-kawasan tumpuan baru. Bukankah ini juga akan memberi kesan kepada penduduk tempatan terutama mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan kerana kekurangan tumpuan masyarakat setempat menyebabkan perniagaan mereka tergendala. Contohnya di kawasan kampung Gelang Patah, hanya terdapat beberapa buah kedai sahaja yang beroperasi termasuk stesen bas yang “tidak bermaya”
Namun demikian, ada baiknya kesan rebakkan bandar di kawasan pinggiran ini. Dari perspektif umum, ia membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kepada keadaan yang lebih baik. Kewujudan peluang-peluang pekerjaan akibat pembinaan kawasan perkilangan, pembinaan projek-projek komited serta pembukaan kawasan tumpuan baru di kawasan persekitaran pinggir bandar ersebut. Tidak salah sekiranya kita perkatakan bahawa kawasan pinggir bandar bandar yang dahulunya mundur dapat menjadi sebuah kawasan tumpuan orang ramai kelak akibat dari kesan rebakkan ini.